PUTRAJAYA – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumum hari ini mengesan penyalahgunaan dana dalam Majlis Profesor Negara (MPN).
MPN merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati manyalahgunakan dana dengan membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516 mewujudkan konflik kepentingan.
Dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) juga tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit selaras dengan Akta 777 (Akta Syarikat 2016).
Selain itu, pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
Pembayaran juga dibuat tanpa kelulusan LPA melibatkan Honorarium felo penyelidik berjumlah RM399,000, pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat (RM82,500), penyelarasan gaji pengurusan tertinggi (RM62,500) serta pembayaran elaun tetap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (RM66,000).
Laporan berkenaan turut menemukan pengurusan geran tidak cekap melibatkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta RM475,000 peruntukan tidak digunakan.
Selain itu, pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 juga dibuat tanpa dokumen sokongan.
Semakan audit turut mendapati penetapan kadar kenaikan gaji tahunan pengurusan tertinggi tidak diluluskan oleh ahli LPA dan jadual penyelarasan gaji tahun 2022 serta 2023 hanya diluluskan oleh Presiden/KPE dan diperakui Pengerusi MPN.
Penyelarasan gaji ini melibatkan kenaikan gaji tahunan sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok pengurusan tertinggi.
Sejumlah RM62,500 telah dibayar bagi tempoh April 2022 hingga Januari 2024 tanpa kelulusan LPA kepada Presiden/KPE dan Ketua Pegawai Operasi masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM16,500.
Dalam pada itu, LKAN mengesyorkan supaya JPM mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.
“Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan.
“Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.
“JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE