PONTIAN – Hanya linangan air mata sayu bagi tujuh sekeluarga apabila rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Jerman, Telok Kerang, di sini pagi hari ini.
Kebakaran yang berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi menyebabkan mereka semua tinggal sehelai sepinggang, termasuk dua buah motosikal yang turut rentung terbakar dalam kejadian tersebut.
Ketika kejadian semua ahli keluarga tiada di rumah pergi bekerja dan ke sekolah termasuk pemilik rumah Rasnah Tambi, 70, yang pergi ke rumah ibunya, Surati Sanawi, 87, di kampung berhampiran.
Menurut Rasnah, selepas membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah di Kampung Telok Kerang, dia ke Kampung Parit Tasrif untuk melihatnya ibunya yang tingga bersendirian sepertimana biasa.
“Ketika sedang menyuapkan makan ibu saya, adik yang tinggal berhampiran rumah ibu memaklumkan rumah saya terbakar setelah diberitahu oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Jerman, di sini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.47 pagi dari orang awam mengenai kebakaran tersebut. – KOSMO! ONLINE