PETALING JAYA – Seorang lelaki menarik perhatian orang ramai apabila beliau mempromosikan rumahnya yang berkonsepkan kampung Melayu, sekali gus tular di media sosial.
Menerusi satu perkongsian pengguna ‘Eddie Anak Mat Salleh’ di laman Facebook Rumah Melayu Malaysia, dia yang juga pemilik rumah berkenaan difahamkan kini menetap di New South Wales, Australia.
Katanya, kediaman itu dibina pada tahun 1903 dan mempunyai ruang tamu, dapur, balkoni yang menghadap matahari selain belakang rumah yang dijadikan ruang makan atau aktiviti santai.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai memuji dan kagum dengan keindahan dekorasi rumah tersebut.
“Lawalah rumah konsep Melayu,” kata Zie Edia.
“Kat Australia memang banyak rumah kayu cantik-cantik, jadi mesti akan ada unsur rumah Melayu juga,” kata Abdul Hafidz Win.
“Cantik sungguh dekorasi dalamannya, lapang dan juga santai, ya memang begini gaya hidup masyarakat Melayu Australia, saya pernah menginap di rumah sepupu di Perth dulu,” kata Badrul Zaman. – KOSMO! ONLINE