PETALING JAYA – Proton telah menjual sebanyak 10,999 unit kenderaan pada bulan Jun 2024 untuk pasaran domestik dan eksport, sekali gus mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif tempatan.
Jumlah jualan untuk bulan tersebut sedikit terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang telah dirancang lebih awal untuk peningkatan operasi berjadual, namun secara keseluruhan, syarikat mencapai pegangan pasaran sebanyak 19.1 peratus untuk bulan lalu, sama seperti angka pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD).
Jumlah jualan Proton untuk tempoh separuh pertama tahun 2024 adalah 73,696 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, angka jumlah industri keseluruhan (TIV) untuk enam bulan pertama tahun 2024 dianggarkan 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih banyak berbanding tempoh sama pada 2023, ketika TIV mencapai rekod tertinggi baharu.
Jun lalu menyaksikan beberapa peristiwa penting bagi Proton termasuk pelancaran jenama kenderaan elektrik (EV) e.MAS, pelancaran kenderaan ke-5 juta dari barisan pengeluarannya dan pelancaran model Proton X50 baharu.
Hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam volum jualan Proton X50, yang mana ia kembali ke tangga teratas dalam kelas kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dengan 1,711 unit terjual, prestasi terbaiknya bagi tempoh tiga bulan.
“Enam bulan pertama tahun 2024 adalah tempoh konsolidasi bagi Proton kerana kami melabur dalam langkah-langkah strategik yang akan memanfaatkan masa depan kami.
“Walaupun penutupan kilang memberi kesan jangka pendek terhadap jumlah jualan, kecekapan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan akan membantu kami mengejar volum pada separuh kedua tahun ini.
“Kami juga gembira melihat pelancaran Proton X50 2024 baharu telah disambut dengan permintaan yang kukuh dari pasaran. Model ini tetap menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang mencari SUV segmen B dan kami mengharapkan reaksi sama apabila kami mengumumkan Proton X70 2025 yang telah mengalami pembaharuan besar.
“Dengan model baharu smart bakal dilancarkan tidak lama lagi dan ketibaan model EV pertama daripada e.MAS, pasaran boleh menjangkakan lebih banyak perkembangan positif daripada Proton untuk separuh kedua tahun ini,” ujar Roslam dalam satu kenyataan semalam.
Saga terus menjadi model paling popular Proton pada Jun lalu dengan 5,441 unit terjual, diikuti X50 pada 1,711 unit dan model sedan baharu, S70 sebanyak 1,440 unit.