REMBAU – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia selepas bertungkus-lumus membantu dalam menyatukan selatan Filipina terutamanya Kepulauan Mindanao.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rasa terima kasih itu dikongsikan semasa kunjungan hormat beliau ke Filipina Isnin lalu.
“Dua, tiga kali di dalam percakapan beliau (Presiden Marcos) dengan saya, perbualannya mengucapkan berbanyak terima kasih pada Malaysia kerana keamanan yang sudah dikecapi oleh penduduk di Selatan Filipina.
“Terutamanya di Mindanao tersebut adalah hasil kerjasama dan juga bantuan Malaysia, yang mengurus gencatan senjata, yang mengurus semua pihak supaya berdamai.
“Mereka (rakyat Kepulauan Mindanao) yang dahulunya mahu autonomi negeri sendiri akan mengadakan pilihanraya negeri mereka pada bulan Mei tahun depan (2025), dia akan ada kerajaan autonomi mereka seperti apa hasrat mereka sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE