MEDAN – Polis Indonesia menyatakan hari ini bahawa pihaknya sedang menyiasat kes kebakaran yang mengorbankan seorang wartawan bersama tiga keluarga mangsa di Sumatera Utara sebagai perbuatan khianat.
Rico Sempurna Pasaribu, 40, maut apabila rumahnya di Kabanjahe terbakar seminggu lalu.
Isterinya, seorang anak berusia 12 tahun, dan seorang cucu berusia tiga tahun turut terbunuh.
Tekanan meningkat kepada polis untuk menyiasat selepas kumpulan wartawan tempatan mendakwa bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan laporan Rico mengenai sindiket perjudian.
“Polis bekerja berdasarkan fakta di lapangan, bukan berasaskan pendapat serta andaian.
“Kami memberi perhatian khusus kepada kes ini,” kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi
Jawatankuasa Keselamatan Wartawan tempatan memberitahu, kebakaran itu mungkin berkaitan dengan laporan Rico mengenai perjudian tempatan yang didakwa dianjurkan oleh seorang anggota tentera.
Tentera Indonesia pula berkata, pihaknya sedang meneliti dakwaan tersebut.
Wartawan Indonesia yang menyiasat kes rasuah tempatan sering berdepan ugutan oleh pihak berkuasa, demikian menurut persatuan wartawan antarabangsa, Reporters Without Borders.
Badan pemantau kebebasan akhbar itu meletakkan Indonesia di tempat ke-111 daripada 180 negara dalam indeks kebebasan akhbar 2024. – AFP