KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Ogos untuk mendengar permohonan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin supaya kes berhubung pengisytiharan 70 harta didengar dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen lain.
Hakim Azrul Darus menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan berhubung permohonan pemindahan kes yang difailkan Daim pada 7 Mei lepas.
“Sehubungan itu, saya memohon supaya tarikh pendengaran permohonan itu pada 9 Ogos ini,” kata Mohamad Fadhly semasa sebutan kes itu.
Mohamad Fadhly berkata afidavit balasan responden (pendakwaan) telah difailkan pada 23 Mei lepas manakala afidavit jawapan pemohon (Daim) pada 30 Mei lepas.
Sementara itu peguam M. Puravelan, yang mewakili Daim memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan pada 9 Ogos itu, namun TPR Datuk Wan Shahruddin Wan Ladi membantah permohonan peguam itu dan memohon supaya Daim hadir untuk prosiding pendengaran tersebut.
Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Azrul kemudian memerintahkan supaya kehadiran Daim pada 9 Ogos tidak dikecualikan.
Dalam prosiding hari ini, Daim tidak hadir kerana kehadirannya dikecualikan.
Daim memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama (Azura).– KOSMO! ONLINE.