fbpx

Penjual ketam hina Raja Perlis dipenjara 6 bulan, denda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASBULLAH (dua dari kiri) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini.

KANGAR – Seorang penjual ketam terpaksa meringkuk selama enam bulan dalam penjara dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Hakim Musyiri Peet membuat keputusan itu terhadap Hasbullah Mohammad, 41, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan tersebut. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berkaitan Raja Perlis menerusi Facebook Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ke Muhammad) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 3.26 pagi, 6 Mac lalu dan dibaca di Taman Fauziah kira-kira pukul 7 pagi, hari sama.

Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman tinggi ke atas tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius melibatkan isu agama dan institusi raja.

Bagaimanapun, peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Biro Bantuan Guaman merayu hukuman ringan kerana anak guamnya mengidap penyakit skizofrenia, menjual barangan basah dengan tiada pendapatan tetap selain menanggung ibu yang lumpuh serta adik kategori orang kelainan upaya.

“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh. Tertuduh juga mengaku salah dan ia menjimatkan kos serta mempercepatkan prosiding mahkamah. Tertuduh juga telah insaf dan memberikan kerjasama baik ketika siasatan. Jadi saya mohon hukuman paling ringan dikenakan mengambil kira hak tertuduh,” katanya.

Hakim kemudian menasihatkan Hasbullah agar hukuman itu menjadi pengajaran kepada dirinya dan memahami negara ini dinaungi di bawah sistem raja berpelembagaan serta berhati-hati dalam menyebarkan maklumat pada masa akan datang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI