fbpx

Pengutip barang lusuh maut terpijak kaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut akibat terpijak serpihan kaca di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah, Tumpat pada Isnin lalu. FOTO MEDIA SOSIAL

TUMPAT – Seorang pengutip barangan lusuh maut selepas terpijak serpihan kaca ketika mencari barangan terpakai di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah di sini Isnin lalu.

Mangsa berusia 37 tahun yang cedera parah di kaki kanan meninggal dunia pada pukul 1.30 tengah hari semasa dipapah rakannya sewaktu dalam perjalanan keluar dari tapak pelupusan sampah itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan daripada lelaki berusia 25 tahun yang memaklumkan rakannya maut kira-kira pukul 3.10 petang.

Siasatan mendapati lelaki itu bersama mangsa pergi ke tapak pelupusan tersebut pada pukul 10.30 pagi untuk mencari barangan terpakai seperti tin dan besi buruk.

“Semasa mencari barangan, mangsa terpijak serpihan kaca sehingga menyebabkan bahagian bawah buku lali kaki kanannya mengalami pendarahan banyak.

“Mangsa yang sudah tenat dan tidak sedarkan diri dipapah oleh rakannya keluar dari tempat pelupusan sampah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Tumpat di sini yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat di sini dan bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada pendarahan yang teruk akibat terpijak serpihan kaca.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI