fbpx

Pengendali makanan disyaki punca demam kepialu di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Tiga orang pengendali makanan disyaki menjadi pembawa kepada jangkitan bawaan makanan disebabkan bakteria iaitu demam kepialu atau tifoid di sebuah sekolah menengah, di sini minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, maklumat tersebut diperoleh selepas pihaknya menjalankan siasatan ke atas pengendali makanan di sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketiga-tiga pengendali makanan itu sudah dirawat dan tidak dibenarkan mengendali makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Siasatan lanjut mendapati, penyakit itu sudah menular di sekolah berkenaan bermula 20 Jun lalu.

“Sebanyak enam kes telah dikenal pasti setakat semalam yang melibatkan pelajar tingkatan satu hingga lima. Kesemua mangsa mengalami gejala demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaini memberitahu, kesemua mangsa stabil selepas dirawat di hospital dan dua kes telah sembuh sebelum dibenarkan keluar dari wad.

Menurutnya, tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan setakat ini.

“Bagaimanapun, sebanyak 35 kes yang disyaki demam kepialu juga telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut.

“Ujian saringan menyeluruh ke atas semua warga sekolah akan dijalankan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tambah Zaini, JKNK akan terus memantau situasi penyakit itu dengan menjalankan langkah-langkah kawalan bagi mencegah wabak daripada berpanjangan.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, guru dan pelajar sebuah sekolah menengah di sini dipercayai mengalami simptom jangkitan bawaan makanan disebabkan bakteria iaitu demam kepialu atau tifoid sejak lebih seminggu lalu.

Ibu pelajar sekolah itu yang enggan dikenali berkata, berdasarkan cerita anaknya, demam pada peringkat awal berlaku dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama.

Menurutnya, wabak tersebut kemudiannya menular dan menjangkiti pelajar sekolah harian sehingga guru dan pelajar lain turut terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI