RIYADH – Pencipta kandungan televisyen Arab Saudi, Abdulaziz Almuzaini yang mana rancangan animasinya di Netflix mencetuskan gelombang kejutan kerana melanggar pantang larang masyarakat tempatan, menyatakan bahawa dia telah disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah anti keganasan.
Mahkamah Khas Jenayah Arab Saudi yang ditubuhkan pada 2008 untuk membicarakan suspek keganasan, ‘menjatuhi hukuman penjara 13 tahun terhadap saya, diikuti dengan larangan perjalanan selama 13 tahun, kata Almuzaini dalam rakaman video yang disiarkan secara online pada minggu lalu sebelum dipadamkan.
Dalam video kedua yang disiarkan minggu ini di platform X, Almuzaini merakam dirinya di dalam sebuah kereta sambil berkata: “Saya dilarang keluar dari Arab Saudi”.
Pegawai-pegawai Saudi tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen daripada AFP hari ini dan juga tiada berita tentang diri Almuzaini.
Animasi genre satira terbitannya yang berjudul Kaunti Masameer itu disifatkan sebagai ‘pandangan lucu tentang perubahan di Arab Saudi’. Ia mula ditayangkan pada tahun 2021.
Episod animasi itu membincangkan topik seperti pertikaian antara suku, militan dan homoseksualiti. – AFP