fbpx

Padah umpan pelanggan guna iklan durian premium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Premis jualan durian didapati membuat iklan bersifat umpanan diambil tindakan Ops Duri, di SS2, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA – Tindakan peniaga durian membuat iklan bersifat umpanan mengundang padah apabila diambil tindakan bawah Ops Duri, di SS2, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan dilakukan susulan satu video tular di aplikasi TikTok.

Jelasnya, video tular tersebut memaparkan aktiviti tawaran jualan dibuat oleh pekerja premis tersebut dengan menyatakan bekalan yang dijual dipercayai adalah jenis buah durian premium antaranya musang king, udang merah, duri hitam.

“Bagaimanapun, ruangan komen menunjukkan reaksi negatif serta tidak puas hati pengguna apabila menyatakan buah durian yang dibeli di premis tersebut tidak seperti yang diiklankan di dalam rakaman video.

“Rentetan itu, satu tindakan pemeriksaan secara penyamaran dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa Pejabat KPDN Petaling Jaya dengan tujuan membuat pengesahan secara fizikal di premis jualan buah durian yang tular di TikTok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zuhairi memaklumkan, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati jenis durian yang dijual tidak semuanya adalah dalam kumpulan premium.

“Malah ada juga didapati jenis durian bukan premium telah dicampurkan sekali di dalam bakul jualan. Situasi ini, membawa percanggahan jenis sebenar barang yang dijual dengan iklan yang dipamerkan oleh premis tersebut,” ujarnya.

Tegas beliau, peniaga premis durian yang tular tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan siasatan difokuskan di bawah kesalahan Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Tindakan diambil kerana membuat iklan berbentuk umpanan (iklan umpanan) dengan niat untuk tidak membekalkan seperti mana yang diiklankan.

“KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI