fbpx

Notifikasi kanser akan diwajibkan – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan notifikasi kanser melalui laman sesawang Malaysian Health Data Warehouse (MyHDW) bagi tujuan pengumpulan data kanser diwajibkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini notifikasi kanser sama ada melalui laman sesawang atau secara manual dilakukan secara sukarela.

“Berdasarkan laporan terkini oleh Registri Kanser Kebangsaan 2017 – 2021, sebanyak 34,332 kes kanser baru dilaporkan pada tahun 2020 dan 31,688 kes kanser baru dilaporkan bagi tahun 2021.

“Saya memandang perkara ini serius. Hari ini kita tahu notifikasi kanser hanya secara sukarela. Saya rasa kita perlu menjadikan ia mandatori,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) tentang jumlah kes kanser baru setiap tahun di negara ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly menerangkan, terdapat sebanyak 10 kanser utama yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 2017 hingga 2021.

Kata beliau, ia melibatkan kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser limfoma, kanser hati, kanser prostat, kanser leukimia, kanser nasofarink, kanser korpus uteri dan kanser ovari.

Menurut beliau, kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser korpus uteri dan kanser ovari merupakan lima kanser utama di kalangan wanita.

“Kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser prostat, kanser hati dan kanser limfoma merupakan lima kanser utama dalam kalangan lelaki,” katanya.

Tambah beliau, bagi tahun 2023, sebanyak 53,679 saringan kanser kolorektal telah dijalankan menggunakan ujian Immunochemical Fecal Occult Blood Test (iFOBT)

“Melalui Program Pengesanan Awal Saringan Kanser Payudara, seramai 1,701,449 wanita berumur 20 hingga 65 tahun telah menjalani pemeriksaan klinikal payudara di klinik-klinik kesihatan dan klinik-klinik desa di seluruh negara.

“Saringan kanser servik melalui ujian calitan pap (Pap Smear) dan ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) bagi tahun 2023, seramai 364,689 wanita berumur 30 hingga 65 tahun telah disaring menggunakan ujian itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI