PUTRAJAYA – Majlis Profesor Negara (MPN) memaklumkan pihaknya tidak menerima dana kerajaan sejak pembubarannya pada 23 Mei 2018.
Namun MPN dalam kenyataan berkata, pihaknya mula diterima semula beroperasi di bawah naungan kerajaan dan menerima dana tahunan mulai Januari 2022.
“MPN ingin menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk membubarkan MPN secara serta-merta berkuat kuasa 23 Mei 2018. Secara langsung mengeluarkannya daripada naungan pihak kerajaan.
“Mulai tarikh pembubaran itu MPN tiada lagi menerima saluran dana kerajaan dan beroperasi dengan sumbangan dan pembiayaan sendiri serta bergerak sebagai sebuah entiti bebas,” katanya, hari ini.
Jelas MPN, sepanjang tempoh itu pihaknya telah mengambil inisiatif-inisiatif tertentu untuk menentukan kelangsungannya di samping membuat pindaan terhadap perlembagaannya selaras dengan kedudukan dan statusnya itu.
Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumum hari ini mengesan penyalahgunaan dana dalam MPN.
MPN merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati manyalahgunakan dana dengan membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516 mewujudkan konflik kepentingan. – KOSMO! ONLINE