LONDON – Pelumba Sepanyol, Alex Rins bakal terlepas Grand Prix (GP) Jerman selepas pelumba Monster Energy Yamaha tersebut terlibat dalam kemalangan ngeri sewaktu di GP Assen, Belanda baru-baru ini.
Akibat kemalangan tersebut, Rins diterbangkan terus ke Madrid, Sepanyol untuk pemeriksaan lanjut dan pelumba berusia 28 tahun itu disahkan mengalami dua keretakan di tangan kanannya.
Oleh itu, pelumba Australia, Remy Gardner dijangka akan mengambil alih tempat Rins di Sachsenring nanti pada hujung minggu ini.
Ketika ini, bekas pelumba MotoGP, Gardner bersaing di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan GRT Yamaha dan menampilkan aksi yang mengagumkan sepanjang musim 2024 setakat ini selepas menaiki podium tempat ketiga di Belanda baru-baru ini.
Sekiranya Gardner menggantikan Rins, ia akan menjadi penampilan keduannya sejak kempen sukarnya pada 2022 bersama pasukan KTM Tech3.
Buat masa ini, Rins bertekad untuk kekal bersama Yamaha pada 2025 dan Ketua Pengarah Yamaha, Lin Jarvin turut positif untuk melanjutkan kontrak bekas pelumba Suzuki dan LCR Honda itu sehingga 2026.
“Buat masa ini segala keputusan belum diputuskan lagi dan keputusan mengenai kontrak akan diumumkan tidak lama lagi,” ujarnya. – AGENSI