fbpx

Malaysia, Thailand sasar nilai dagangan AS$30 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) antara Malaysia dan Thailand yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini menetapkan sasaran untuk mencapai nilai perdagangan berjumlah AS$30 bilion  (RM141 bilion) antara kedua-dua negara menjelang tahun 2027.

JTC berkenaan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datul Seri Zafrul Abdul Aziz serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Thailand, Phumtham Wechayachai.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama berkata, dalam JTC, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas berkaitan perdagangan dan pelaburan yang termasuk kemudahan perdagangan sempadan.

“Ini untuk mencapai, antara lain, sasaran perdagangan sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027, meningkatkan ketersambungan rentas sempadan, memudahkan import dan eksport produk pertanian dan meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang seperti getah, pengangkutan darat dan perhubungan, keusahawanan, francais, pertanian dan persekitaran digital meliputi ID Digital, pusat data, keselamatan siber, bakat digital dan menyokong kerjasama sektor swasta.

“Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam mempromosikan produk halal melalui aktiviti promosi eksport,” katanya.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu (2017-2023), perdagangan antara Malaysia dan Thailand mencapai purata AS$24.73 bilion setahun, dengan nilai tertinggi direkodkan pada 2022 sebanyak AS$27.74 bilion.

Walaupun perdagangan dua hala pada 2023 menurun kepada AS$24.83 bilion selari dengan perdagangan global yang lebih perlahan, Malaysia masih merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar Thailand dalam ASEAN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI