fbpx

Lagu sekarang tiada jiwa, sangat kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
sebahagian besar lagu zaman ini tiada penjiwaan dan nilai puitis umpama mendengar lagu ‘kanak-kanak riang’. - Gambar hiasan

“Silap-silap ayam pun mereka tak pernah jumpa. Tahu makan sahaja.”

Itu komen yang pernah dilemparkan oleh penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M. Nasir berkenaan lagu-lagu masa kini.

Kata-kata ‘makan dalam’ daripada seorang seniman hebat itu mengambarkan situasi sebenar yang berlaku industri muzik tanah air.

Memang benar sebahagian besar lagu zaman ini tiada penjiwaan dan nilai puitis umpama mendengar lagu ‘kanak-kanak riang’.

Ini berbeza berbanding 20 atau 30 tahun lalu. Muzik dan alunan lirik ketika itu yang mewarnai kepelbagaian genre telah memberi halwa telinga yang berbeza buat pendengar berlainan citarasa.

Meskipun berbeza genre sama ada rock, pop, balada, rap, metal, namun sarat dengan mesej dan penghayatan.

Muzik di Malaysia pada zaman itu menjadi medium menyampaikan mesej perjuangan, mengangkat kebenaran dan motivasi kehidupan.

Kesemua elemen itu bagaimanapun kian pudar. Bak kata M. Nasir, minda mereka yang mencipta lagu masa kini kosong.

Kosong kerana pemikiran tidak sama dengan mereka yang pernah melalui getir hidup ketika negara sedang membangun.

Seorang peminat muzik tanah air dengan nama samaran Din Alternatif, 40, ternyata amat bersetuju dengan hujah M. Nasir.

Ketika kami berdiskusi perkara itu, beliau menyifatkan lagu semasa tiada roh dan gagal membelai jiwa termasuk lagu-lagu percintaan.

Ujar Din Alternatif, mendengar lagu masa kini sekadar sepintas lalu tanpa memberi kesan kepada emosi dan buah fikiran.

“Aku dengar lagu sekarang tidak tahu hendak berasa sedih atau gembira. Lagu hari raya pun sama.

“Macam dengar lagu kanak-kanak Hujan Dah Turun atau Papaku Pulang Dari Kota saja” katanya.

Din Alternatif berpandangan, iklim tersebut menyebabkan banyak lagu baharu tidak berkeupayaan menjadi ‘evergreen’.

Pandangan M. Nasir dan Din Alternatif pantas mengingatkan penulis terhadap salah seorang legenda rock tanah air iaitu Allahyarham Mael XPDC.

Konsertnya sentiasa dipenuhi penonton walau sudah kurang berkemampuan menyanyi dengan baik kerana faktor usia.

Para penonton, malah membantu menyanyi bersama-sama kerana mereka hadir untuk Mael dan lagu-lagu XPDC yang mala segar.

Seperti kata pemain gitar terkenal Jo Branko: “Mael XPDC memang istimewa. Buat apapun orang tak kisah.”

“Tak menyanyi sangat pun tak kisah janji dia ada di atas pentas. Untuk dapat kedudukan begitu memang susah.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI