fbpx

Kos infrastruktur RTS Link meningkat hampir 30 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERJA-KERJA pembinaan jajaran tiang RTS yang merentasi Selat Tebrau berjalan lancar di Stulang Laut, Johor Bahru.-Foto RAJA JAAFAR ALI

PUTRAJAYA – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24 yang dikeluarkan pada hari ini mendedahkan anggaran kos infrastruktur projek Rapid Transit System Link (RTS Link) meningkat sebanyak 29.9 peratus atau RM1.207 bilion kepada RM5.245 bilion setakat 31 Disember lepas.

LKAN berkata, kos infrastruktur projek itu pada asalnya dianggarkan bernilai RM4.038 bilion pada tahun 2018.

Laporan itu mendedahkan, semakan audit mendapati berlakunya peningkatan antara disebabkan penambahan skop kerja depoh daripada penyenggaraan ringan kepada penyenggaraan berat, kontrak baharu Skim Penyuraian Trafik dan pembinaan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Selain itu turut menjadi penyumbang adalah kerja infrastruktur tambahan bagi fakad ikonik dan struktur estetika jejambat, kos tambahan serahan tanah, serta kos infrastruktur tambahan bagi pembinaan parkir dan cerucuk tambahan di Kompleks CIQ.

“Penyaluran sumbangan kerajaan bagi projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) dan projek RTS Link telah dibelanjakan mengikut projek infrastruktur awam yang diluluskan.

“Bagaimanapun, peningkatan kos projek boleh mempengaruhi kedudukan kewangan semasa kerajaan berbanding manfaat kepada pemegang taruh dan nilai terbaik terhadap projek,” kata laporan itu.

Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi projek RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura pada 16 Januari 2018.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI