fbpx

Jawapan representasi Rosmah gugur 17 pertuduhan belum diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto SADDAM YUSOF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes Datin Seri Rosmah Mansor bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan memaklumkan, masih belum menerima jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) status representasi ketiga berhubung pertuduhan itu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy hari ini, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah, 73, berkata, representasi itu untuk mengugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bermula tahun 2013 lalu.

Sebelum ini, Rosmah telah menghantar sebanyak tiga representasi iaitu pertama pada 3 Mei 2023, manakala kedua dan ketiga masing-masing pada 18 Ogos serta 12 Disember tahun sama.

Bagaimanapun, sehingga kini perkembangan ketiga-tiga representasi itu masih belum diterima.

Terdahulu ketika prosiding hujahan untuk menggugurkan 17 pertuduhan itu, Amer berkata pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah tidak berasas.

Katanya, cara beberapa pertuduhan dirangka, tidak menunjukkan butiran yang diiktiraf dalam undang-undang.

“Terdapat pertindihan kes, yang mana Rosmah dituduh melakukan kesalahan sama sebanyak dua kali. Perkara yang cuba dilakukan oleh pihak pendakwaan ialah mencipta sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta sama, sedangkan ia tidak adil dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 23 Ogos ini bagi sambung hujahan.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI