fbpx

Industri pembinaan kena tempias pengapungan harga diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menolak kemungkinan industri pembinaan akan terkena tempias akibat tindakan pengapungan harga diesel bermula 10 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun masih terlalu awal untuk menganggarkan kenaikan peratusan kos dalam industri berkenaan.

“Ada kemungkinan industri pembinaan akan terkena tempias akibat pengapungan harga minyak (diesel) ini. Kita tahu dan saya turut terima rayuan dan keluhan mereka.

“Kerajaan sedang mengkaji isu ini dan sebelum pertimbangkan atau memperkenalkan sebarang dasar baharu, perhatian yang lebih teliti perlu dibuat daripada pelbagai sudut.

“Ini termasuk berpandukan indeks kos bahan diterbitkan Jabatan Perangkaan yang merekodkan sebarang kenaikan dan penurunan kos bahan binaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung kesulitan dialami kontraktor yang mengalami peningkatan kos pembinaan antara 15 hingga 35 peratus.

Menjawab soalan asal Roslan, Alexander berkata, Had Nilai Kerja kontraktor tempatan gred G1 dan G2 bagi perolehan kerajaan masih tertakluk kepada arahan Pekeliling Perbendaharaan 2.1: Kaedah Perolehan Kerajaan (PK2.1)

Kata beliau, sebarang kenaikan berbanding nilai ditetapkan PK2.1 adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun kerajaan sentiasa memantau perkembangan industri dan isu kenaikan harga bahan binaan dan mentah serta kesannya ke atas kontraktor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pendaftaran satu syarikat kontraktor G1 adalah dihadkan kepada seorang penama sahaja.

Jelas beliau, ketetapan itu dibuat bagi mengatasi isu termasuk risiko kewujudan kartel supaya satu penama tidak mendaftarkan banyak syarikat. – KOSMO! ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI