fbpx

HRD Corp dikesan guna RM3.77 bilion kutipan levi untuk pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) menggunakan RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan untuk pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan syarikat itu.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, matlamat penubuhan HRD Corp adalah pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan pekerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

“Perlu diingatkan bahawa HRD Corp bukanlah sebuah institusi pelaburan, namun PAC mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti put and call option. Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar.

“Selain itu, PAC juga mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan HRD Corp seperti tadbir urus dan tata kelola yang lemah, kaedah perolehan dan pembelian hartanah yang mencurigakan atau mendatangkan kerugian kepada HRD Corp,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata, laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ALP tidak dapat memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara keseluruhan sekaligus mengenepikan peranan ALP sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp.

“Mengikut Akta PSMB 2001, wakil Bank Negara Malaysia (BNM) perlu dilantik sebagai salah seorang ahli Panel Pelaburan. Bagaimanapun, sejak 2017 tiada wakil BNM dalam Panel Pelaburan HRD Corp. Perkara ini bertentangan dengan Akta PSMB 2001,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, prosiding PAC turut mendapati HRD Corp melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 27 Februari 2024 telah bersetuju supaya kutipan levi dan operasi HRD Corp diperakaunkan secara berasingan.

Kata beliau, levi yang tidak digunakan dalam tempoh dua tahun akan dikategorikan sebagai “unutilised levy” atau “forfeited levy”.

Ujar beliau, penentuan tempoh “unutilised levy” selama dua tahun telah menyebabkan banyak Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tidak dapat memanfaatkan dana latihan yang telah dicarum kerana tidak mencapai kos minimum untuk melaksanakan latihan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan caj perkhidmatan empat peratus terhadap penyedia latihan diluluskan oleh ALP HRD Corp pada tahun 2019 dengan niat untuk menampung perbelanjaan operasi HRD Corp tanpa bergantung kepada pelaburan, namun keputusan itu dibantah pihak industri.

“Bagaimanapun, dibawah pengurusan HRD Corp yang baharu (tahun 2020), caj ini telah dilaksanakan dengan mengguna pakai kelulusan asal tanpa dirujuk semula kepada ALP.

“Walaupun caj perkhidmatan empat peratus dilaksanakan, HRD Corp terus secara giat dan agresif melaksanakan pelaburan yang mungkin membawa risiko terhadap wang levi yang digunakan dalam pelaburan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI