SEPANG – Sebuah pusat operasi dibuka berhampiran Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini susulan insiden kebocoran gas metana tengah hari tadi.
Tinjauan wartawan di lokasi kejadian mendapati, anggota bomba dan pasukan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal insiden tersebut.
Selain itu, sebuah jentera ‘command post’ mudah alih milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut ditempatkan di lokasi yang berfungsi sebagai pusat kawalan krisis dan risiko.
Setakat pukul 4.30 petang tadi, anggota penyelamat masih berusaha mengesan lokasi kebocoran dan tiada maklumat lanjut diperoleh sehingga kini.
Laluan menuju ke Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd (Sepang Aircraft) dipercayai ke lokasi insiden gas bocor turut ditutup untuk semua kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga sementara nggota polis dilihat berkawal di jalan masuk ke laluan itu.
Kumpulan wartawan yang berada di lokasi turut terhidu bau gas metana bocor itu.
Bagaimanapun, setakat pukul 4.50 petang tadi, tiada pengesahan atau kenyataan rasmi dikeluarkan pihak bomba dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA berhubung situasi terkini insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE