LEIPZIG – Kejayaan 2-1 ke atas Austria di pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi semalam memberikan kegembiraan berganda buat pengendali Turkiye, Vincenzo Montella.
Selain membawa Turkiye ke saingan suku akhir, kemenangan itu juga melunaskan misi besarnya untuk mengecewakan lawan itu yang menang 6-1 pada aksi persahabatan, Mac lalu.
“Kami dikritik hebat kerana keputusan perlawanan persahabatan itu. Itu adalah detik mengerikan dalam karier saya.
“Namun, saya sudah bersama pasukan dan tetap menunggu untuk menghapuskan segala beban berkenaan. Jurulatih juga sama seperti pemain, sentiasa bersaing secara kompetitif untuk cuba menterbalikan keputusan lepas.
“Ia tidak menjurus kepada balas dendam tetapi hanya perbetulkan keadaan memandangkan saya tidak pernah alami kekakalah sebesar itu sepanjang karier,” katanya.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan, Merih Demiral muncul wira skuad The Crescent-Stars apabila meledak kedua-dua gol manakala Austria memperoleh jaringan saguhati menerusi Michael Gregoritsch.
Kejayaan muncul lapan pasukan terbaik kali ini adalah kali pertama diraih Turkiye sejak melakukannya pada Euro 2008 dan kini dijadualkan menentang Belanda di suku akhir.
Sepanjang penyertaan kali ini juga, Turkiye sentiasa mendapat sokongan memandangkan hampir tiga juta penduduk di Jerman adalah berketurunan Turkiye
“Kami mempunyai pengikut dan semangat yang mendalam. Saya gembira untuk menghadirkan kegembiraan buat rakyat Turkiye.
“Kami merasai sokongan daripada mereka tetapi impian hanya mampu dilunaskan sekiranya kami bekerja bersungguh-sungguh,” jelasnya.
Sementara itu, penjaga gol Turkiye, Mert Gunok yang berjaya mencuri perhatian menerusi aksi memukau dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Austria mengakui berpuas hati dengan persembahan rakan sepasukan.
“Kami sangat gembira, sukar untuk saya mencari perkataan yang tepat. Ia satu kemenangan yang hebat dan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan berdoa untuk kemenangan kami,” jelasnya. – AGENSI