LONDON – Pemain tengah Manchester United, Casemiro memberi bayangan bahawa dia akan kekal bersama kelab untuk musim baharu walaupun terdapat desas-desus mengenai masa depannya di Old Trafford selepas gagal memberikan impak besar pada musim lalu.
Pada musim pertamanya selepas berpindah dari Real Madrid pada musim panas 2022, Casemiro mempamerkan aksi yang mengagumkan, namun prestasi pemain Brazil ini merosot sehingga dikaitkan dengan perpindahan bernilai besar ke Arab Saudi.
Sekiranya Casemiro berpindah musim ini, United dikatakan mahu menuntut bayaran sebanyak £30 juta (RM177.3 juta) kerana pemain ini masih mempunyai dua tahun baki kontrak bersama The Red Devils.
Sementara itu, dilaporkan bahawa wakil Casemiro akan bertemu dengan pengurus United, Erik Ten Hag minggu depan untuk membincangkan mengenai perancangan beliau terhadap pemain tersebut untuk musim baharu nanti.
Bagaimanapun, sebelum perbincangan tersebut berlaku, Casemiro memberi petunjuk bahawa dia bersedia untuk kekal di Old Trafford musim depan apabila memuat naik gambar memakai jersi baharu untuk musim akan datang di laman media sosial Instagram miliknya.
Terdahulu, pemain berusia 32 tahun itu menjadi pemain simpanan dan tidak diturunkan dalam perlawanan terakhir musim ini dan dia juga pernah memakai lilitan kapten beberapa kali, termasuk dalam kekalahan 0-4 menentang Crystal Palace pada Mei lalu. – AGENSI