fbpx

Enam teknologi bantu perluas industri sawit – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari berucap pada Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB ke-30, di Hotel Tenera, Bangi, di sini hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

BANGI – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu bagi pengkomersialan sawit dalam Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) 2024.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi dan perkhidmatan baharu itu merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi, dan oleokimia.

Beliau berkata, inovasi yang dibangunkan oleh MPOB adalah sejajar dengan perkembangan ekosistem industri sawit serta memperluaskan kegunaan produk berasaskan sawit di pasaran.

“Enam teknologi baharu itu ialah baka tanaman baharu Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio.

“Selain itu, Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit yang juga dikira sebagai inovsi baru” katanya semasa berucap pada Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB ke-30, di sini hari ini.

Selain itu, Johari turut memaklumkan mengenai perkhidmatan baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan sawit iaitu khidmat kawalan perosak sawit dan tikus secara biologi dengan menyediakan pembinaan tiang berburu (hunting perch) di kawasan sawit.

“Melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), kerajaan melalui MPOB turut memberi fokus penting kepada usaha untuk memperkasakan pekebun kecil sawit dan penglibatan usahawan tempatan termasuk daripada sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri sawit.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan dan mempercepat proses pengkomersialan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibangunkan oleh Institusi Penyelidikan Awam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah untuk mendorong pengkomersialan hasil inovasi R&D Institusi Penyelidikan Awam, insentif cukai disediakan kepada syarikat pelabur dan syarikat yang mengkomersialkan hasil penemuan atau inovasi.

“Saya menggesa semua pihak termasuk penggiat industri dan para usahawan mengambil  peluang insentif dan pembiayaan dana yang disediakan oleh agensi Kerajaan bagi pengkomersialan teknologi hasil penyelidikan tempatan,” katanya.

Terdahulu, dalam program sama beliau turut melancarkan ‘MPOB TECH’ sebagai cap dagangan (trade mark) berdaftar untuk memperkasa teknologi MPOB yang dikomersialkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI