KEBANGKITAN Granit Xhaka adalah satu keajaiban luar biasa jika dibandingkan gelarannya sebelum ini sebagai seorang pemain panas baran yang tidak pernah lekang dengan cerita kontroversi di atas padang.
Peminat Arsenal tentunya masih ingat tindakan Xhaka membuang jersi dan lilitan kapten pasukan sambil mencarut ke arah penyokong sendiri kerana tidak berpuas hati dicemuh serta diejek mereka ketika aksi The Gunners menentang Crystal Palace lima tahun lalu.
Dari seorang yang dibenci, kini Xhaka, 31, membuat transformasi hebat sehingga disebut-sebut berpotensi memenangi anugerah Ballon d’Or sekiranya dia dapat membantu Switzerland menjuarai Euro 2024.
Jeneral tengah itu memainkan watak penting dalam kejayaan Switzerland ke suku akhir dengan menampilkan persembahan dominan menumbangkan juara bertahan, Itali 2-0 di pusingan 16 terbaik minggu lalu.
Ramai pemerhati menganggap Xhaka persis legenda Itali, Andre Pirlo apabila berjaya membuat 95.9 peratus hantaran tepat dengan menyempurnakan 94 daripada 98 hantaran termasuk 36 kali pada 15 minit terakhir menentang The Azzurri.
Statistik juga menunjukkan bintang Bayer Leverkusen itu memenangi 100 peratus perebutan bola di udara selain mencipta satu bantuan jaringan terhadap gol kedua Switzerland yang disempurnakan oleh Ruben Vargas.
Tidak mustahil pemain yang dilahirkan di Basel itu mampu mengulangi prestasi hebatnya apabila turun menentang England untuk aksi suku akhir di Merkur Spiel-Arena, Dusseldorf awal pagi Ahad ini.
Sejak menyertai Arsenal daripada Borussia Monchengladbach dengan harga £30 juta (RM178.82 juta) pada 2016, Xhaka sentiasa menjadi mangsa layangan kad oleh pengadil menyaksikan dia mengutip lima kad merah dan 49 kad kuning daripada 180 penampilan.
Segalanya serba tidak menjadi ketika beraksi di bawah bimbingan Arsene Wenger dan Unai Emery sehinggalah pelantikan Mikel Arteta pada penghujung tahun 2019 yang menjadi pencetus kebangkitan Xhaka.
Biarpun gagal membantu Arteta merealisasikan impian bergelar juara Liga Perdana Inggeris, namun perpindahannya ke Leverkusen menyertai rejim Xabi Alonso musim lalu meletakkan Xhaka sebagai salah seorang calon kejutan untuk memenangi Ballon d’Or.
Xhaka mencipta kejayaan menakjubkan bersama Leverkusen menjuarai Bundesliga dengan rekod tanpa kalah, meleraikan penantian 120 tahun kelab itu.
Kini, dia berpeluang menempa satu lagi sejarah baharu bersama Switzerland dengan mencatat kemenangan pertama ke atas England.
Switzerland tidak pernah menang dalam 10 aksi menentang England dengan seri tiga kali dan tewas tujuh perlawanan termasuk kalah 1-2 tiga tahun lalu.
Berdasarkan prestasi semasa, Xhaka dan rakan sepasukannya dilihat lebih kompeten berbanding England yang ‘nyawa-nyawa ikan’ ketika menewaskan Slovakia 2-1 baru-baru ini.
Seandainya Switzerland mencipta magis menjuarai Euro seperti dilakukan Greece pada 2004, hampir pasti nama Xhaka akan berada dalam senarai lima terbaik Ballon d’Or 2024 pada September depan.