fbpx

‘Dia melihat orang pengsan dan dipijak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARIS mangsa meratapi kematian ahli keluarga mereka di luar bilik mayat hospital di Hathras semalam. - AFP

NEW DELHI – Mangsa-mangsa yang terselamat dalam insiden rempuhan paling buruk di India dalam tempoh lebih sedekad, mengimbas kembali detik kejadian ngeri ketika dihimpit pada acara perhimpunan keagamaan itu kelmarin.

Laporan polis menyatakan bahawa kira-kira 250,000 orang menghadiri acara tersebut di negeri Uttar Pradesh, utara India. Ia melebihi tiga kali ganda daripada 80,000 orang yang mendapat kebenaran.

Setakat petang semalam, 121 orang dilaporkan mati dalam insiden itu.

Pada pagi semalam iaitu beberapa jam selepas kejadian tersebut, pakaian dan kasut bertaburan di lokasi perhimpunan di atas padang terbuka yang berlumpur di tepi lebuh raya.

Menurut saksi, orang ramai jatuh di atas satu sama lain ketika mereka terhumban ke bawah cerun dan memasuki parit yang ditenggelami air.

“Semua orang termasuk wanita dan kanak-kanak, keluar dari tapak acara serentak. Tiada ruang yang mencukupi, dan semua orang jatuh di atas satu sama lain,” kata pegawai polis, Sheela Maurya, yang bertugas ketika kejadian.

Sheela yang bertugas sejak awal pagi kelmarin dalam cuaca panas, lembap dan terik merupakan antara yang cedera.

“Saya cuba membantu beberapa wanita tetapi saya juga pengsan dan ditimpa oleh sejumlah orang. Terdapat seseorang yang menarik saya keluar daripada orang ramai,” katanya kepada AFP.

Beberapa pegawai mencadangkan bahawa rempuhan itu tercetus apabila pengunjung cuba mengumpul tanah dari tapak kaki agamawan, manakala yang lain menyalahkan ribut debu kerana mencetuskan panik.

Ada juga yang pengsan akibat rempuhan orang ramai sebelum terjatuh dan dipijak, menyebabkan mereka tidak dapat bergerak.

Pesuruhjaya bahagian bandar Aligarh,  Pradesh Chaitra V. pada awalnya berkata, keadaan panik bermula apabila pengunjung keluar dari lokasi majlis semasa ribut debu menjejaskan penglihatan mereka. Ia sekali gus membawa kepada huru-hara.

Namun, Ketua Setiausaha Negeri Uttar Pradesh, Manoj Kumar Singh memberitahu pemberita selepas melawat tapak itu bahawa dia dimaklumkan pengunjung berebut-rebut untuk mendekati agamawan tersebut.

“Saya diberitahu bahawa orang ramai bergegas menyentuh kakinya dan cuba mengutip tanah di tempat bekas tapak kakinya. Kemudian, rempuhan berlaku,” kata Manoj seperti dipetik akhbar Indian Express. 

Dalam pada itu, di wad kecemasan sebuah hospital di bandar Hathras, Sandeep Kumar, 29, duduk di sebelah adik perempuannya yang cedera, Shikha Kumar, 22.

“Selepas acara tamat, semua orang mahu keluar dengan cepat, dan itulah yang membawa kepada rempuhan.

“Dia (Shikha) melihat orang pengsan dan dipijak,” katanya.

Perhimpunan agama di India mempunyai rekod buruk berhubung insiden maut yang disebabkan oleh kaedah pengurusan orang ramai yang lemah serta kesilapan sistem keselamatan.

Pada 2008, seramai 224 pengunjung terbunuh dan lebih 400 cedera dalam rempuhan di sebuah kuil di puncak bukit, utara bandar Jodhpur. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI