fbpx

Dewan Rakyat: Jenayah penipuan siber catat kerugian RM2.65 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, jumlah kerugian yang direkodkan bagi kes penipuan dalam talian dari tahun 2022 sehingga Jun 2024 adalah sebanyak RM2.65 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, manakala kerugian bagi tahun 2024 adalah RM581 juta.

“Didapati juga terdapat peningkatan secara keseluruhan bagi jumlah kerugian, 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 kepada RM1.2 bilion bagi tahun 2023,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai jumlah kerugian akibat jenayah siber dan adakah kerajaan dapat memastikan wang mangsa dikembalikan.

Azalina berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai.

Menurut beliau, cadangan pindaan itu akan melibatkan pewujudan kesalahan baharu yang berkaitan dengan tindakan mana-mana pihak yang membenarkan bank akaun mereka digunakan oleh orang lain tanpa kuasa yang sah atau bagi tujuan yang sah.

Tambah beliau, cadangan itu akan turut memberikan kuasa kepada Pegawai Penyiasat untuk mengarahkan penyitaan akaun bank yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah siber.

Kata beliau, cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan itu akan juga membenarkan pihak polis untuk menghalang wang mangsa penipuan jenayah dalam talian daripada dikeluarkan atau digunakan.

“Ia juga akan memudahkan pihak polis untuk melakukan ‘money tracing’ bagi mengenal pasti wang mangsa yang telah ditipu. Secara tidak langsung, ianya akan membuka ruang untuk pemulangan wang-wang ini kepada mangsa-mangsa.

“Cadangan pindaan ini dijangka akan dibawa dan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini setelah memperoleh pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI