fbpx

Dera anjing Husky: DVS buka kertas siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anjing baka Husky yang diselamatkan aktivis haiwan, baru-baru ini, susulan video tular haiwan peliharaan itu tersebar di media sosial.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil tindakan susulan video tular berhubung seorang lelaki mendera seekor anjing Husky di sebuah Kondominium Landsmark Residence 1, Kajang, Selangor baru-baru ini.

DVS dalam kenyataan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu di bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].

Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

“DVS mengesahkan telah menerima aduan secara rasmi berhubung kes tersebut yang berlaku di kondominium berkenaan pada 1 Julai lepas pada pukul 11.50 malam.

“Susulan aduan tersebut, DVS telah membuat pemeriksaan awal di lokasi kejadian pada 2 Julai lepas pada pukul 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati anjing Husky tersebut telah dibawa keluar oleh orang awam dari lokasi kejadian ke klinik haiwan swasta yang terletak di sekitar Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, bertindak atas maklumat tersebut, DVS telah mengambil anjing Husky tersebut untuk tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut oleh pegawai veterinar.

“Keterangan suspek yang terlibat dalam kes ini telah diambil dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” ujarnya.

Selain itu, DVS juga ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan anjing Husky sebelum ini seperti mana yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

“DVS memandang serius tindakan mana-mana individu yang membuat tuduhan palsu di rangkaian media dan aplikasi sosial.

“Justeru, DVS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” katanya.

DVS turut menasihatkan mana-mana orang atau persatuan berkaitan haiwan untuk menyalurkan terus aduan berhubung kebajikan haiwan kepada DVS melalui pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) dan tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang boleh mengganggu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI