PETALING JAYA – Taktik meletakkan minuman keras tidak bercukai di bahagian belakang kontena sementara sayur-sayuran di bahagian hadapan, terbongkar menerusi pemeriksaan dua buah kontena di Pelabuhan Utara, Klang, 13 Jun lalu.
Tindakan terhadap kontena yang diikrar sebagai barangan sayuran dibuat Bahagian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 sekitar pukul 11.30 malam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan di dua kontena terbabit menemui 8,600 liter minuman keras dipercayai dari China bernilai RM160,300 termasuk cukai dan duti.
Katanya, modus operandi sindiket adalah membuat isytihar palsu sebagai barangan sayuran di borang manifest bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket telah menyorokkan muatan minuman keras itu di sebalik sayuran import antaranya brokoli dan kobis,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berikutan itu seorang wakil perkapalan telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berlainan, Norlela berkata, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) JKDM Zon Tengah Unit 1 berjaya mematahkan sindiket dengan rampasan 1,566,000 batang rokok putih dan kretek berjumlah RM1.35 juta termasuk duti dan cukai, 19 Jun lalu.
Tambahnya, serbuan dilakukan di sebuah gudang terbiar terletak di kawasan kilang.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan setem cukai disyaki palsu di beberapa jenama rokok yang dirampas bagi mengaburi pihak berkuasa.
“JKDM percaya rokok ini untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dibawa masuk melalui pintu masuk sah, namun mengikrar barang dagangan sebagai barang sah,” ujarnya.
Tegasnya, JKDM menyeru orang awam untuk salurkan maklumat sebarabg aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. – KOSMO! ONLINE