fbpx

Angkasa laksana kajian alam sekitar kepada anggota koperasi sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah Abdullah (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat serta kira-kira 600 orang pelajar anggota koperasi dan guru koperasi sekolah Negeri Selangor selepas menyempurnakan perasmian Bengkel ‘Training of Trainers’ (ToT) Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok yang berlansung di Taman Botani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL/KOSMO!

BANGI – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melaksanakan kajian kesedaran dalam kalangan anggota koperasi sekolah terhadap kepentingan hutan dan perubahan iklim.

Bagi melaksanakan kajian itu, Angkasa bersama Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku rakan strategik telah memeterai kerjasama untuk menjalankan penyelidikan dalam tempoh dua tahun bermula 2023 sehingga 2025.

Menurut Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, pada Mac 2021, Angkasa dan UKM telah menandatangani memorandum perjanjian bagi melaksanakan Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.

“Hasilnya, sebuah modul pengajaran dan pembelajaran telah diwujudkan iaitu Sejuta Pokok Segunung Harapan dan program Training of Trainers (ToT) yang disertai oleh anggota koperasi sekolah di kawasan Lembah Klang.

“Sehubungan itu, program ToT yang dilaksanakan pada hari ini merupakan salah satu instrument kepada pelaksananan penyelidikan berbentuk Kajian Kesedaran Anggota Koperasi Sekolah Terhadap Kepentingan Hutan dan Perubahan Iklim,” katanya.

Tambahnya, latihan penanaman pokok juga akan diberikan kepada anggota koperasi sekolah melalui program penanaman pokok dan memantau tumbesaran serta keberkesanan pokok hutan dalam penyimpanan stok karbon hutan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel ToT Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok di Taman Botani, UKM, Bangi, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) UKM, Prof. Dr. Norhamidi Muhamad.

Bengkel ToT yang berlangsung pada hari ini telah disertai lebih 600 orang pelajar dari 60 buah koperasi sekolah di sekitar Selangor serta 120 orang petugas.

Katanya, pada masa akan datang, program ToT ini akan dijalankan di empat lagi zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Pantai Timur, Zon Sabah dan Sarawak.

“Kita mempunyai kekuatan 2,490 buah koperasi sekolah dengan keanggotaan 2.08 juta anggota individu untuk membudayakan amalan penanaman pokok dan gaya hidup mampan.

“Program ini bukan sahaja tanda sokongan Angkasa kepada agenda kerajaan malah, berperanan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya anggota koperasi sekolah mengenai keperluan mendesak untuk menjaga alam sekitar.

“Kami juga mahu mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan sihat untuk generasi akan datang,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI