KUALA LUMPUR – Acara larian Learn-A-Thon yang dianjurkan sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 berlangsung dengan jayanya apabila mendapat kira-kira 5,000 penyertaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.
Program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu dihadiri peserta dari pelbagai peringkat umur.
Larian sepanjang lima kilometer itu bermula tepat pada pukul 7.30 pagi serta turut memberi fokus kepada bersenam sambil menimba ilmu baharu buat pesertanya.
Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, acara itu juga bertujuan untuk menanamkan semangat pembelajaran sepanjang hayat kepada semua rakyat di negara ini khususnya golongan pekerja agar mereka sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran masing-masing.
“Alhamdulillah acara hari ini (semalam) disertai kira-kira 5,000 peserta, satu kejayaan bagi saya ini merupakan anjuran kali pertama dan bagi tahun 2024, ini adalah tahun kedua HRD Corp menganjurkan NTW 2024.
“Acara ini seterusnya akan dijadikan sebagai satu acara tahunan yang berlangsung selama seminggu dan ia juga bertujuan untuk menyahut seruan dan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja-pekerja sejajar dengan dasar ekonomi Madani,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Beliau yang turut menyertai larian itu berkata, acara tersebut secara langsung menyambut seruan kerajaan supaya rakyat sentiasa menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya perhatian ke semua peserta begitu gembira sekali, ramai yang mengatakan bahawa walaupun lima kilometer, larian ini agak mencabar kerana keadaan di Bukit Jalil ini berbukit, tetapi saya difahamkan semua peserta menamatkan larian mereka dan Alhamdulillah tidak berlaku kemalangan atau perkara tidak diingini berlaku.
“Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kerjasama dengan begitu baik mengawal lalu lintas dan juga pihak lain yang berkaitan dengan acara hari ini,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Adam Izzuddin Feizal, 14, berkata, sebaik mengetahui mengenai larian itu, dia mengambil peluang untuk menyertai acara larian berkenaan bersama ibunya semalam.
“Ibu yang maklumkan mengenai acara larian ini, jadi kami ambil keputusan untuk menyertainya bersama. Saya memang selalu sertai acara larian, jadi bila dapat tahu ada larian ini memang teruja untuk sertai selain dekat dengan rumah di Seri Kembangan,” katanya yang turut menjadi peserta pertama menamatkan larian berkenaan.
Selain itu, seorang lagi peserta, Nur Anis Sabki, 28, berkata, program seperti NTW 2024 wajar diadakan dengan kerap kerana selain berkongsi maklumat kepada orang ramai, acara larian yang turut diadakan juga dapat memberi manfaat kepada orang ramai.
“Selain dapat sertai aktivi-aktivi lain yang disediakan, orang ramai yang datang juga boleh bersenam dengan menyertai larian yang turut dianjurkan. Memang menarik program seperti ini untuk orang awam, terutama apabila mahu melakukan aktiviti bermanfaat pada hujung minggu bersama keluarga,” katanya.
Terdahulu, NTW 2024 yang bermula Isnin lalu dianjurkan bagi menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.
Program latihan percuma itu melibatkan lima teras utama iaitu kemahiran hidup; kemahiran masa depan; kreativiti dan inovasi; kewangan; dan pembangunan mampan.
Secara keseluruhannya NTW 2024 telah berjaya mencatat rekod baharu dengan pencapaian menggalakkan apabila menguruskan lebih daripada 65,000 kursus dengan menerima lebih daripada 375,000 penyertaan serta melibatkan sebanyak 736 program serta aktiviti. -KOSMO! ONLINE