PETALING JAYA – “Dua ayat yang anda kena jerit, dapatkan bantuan, bawa AED, dan terus melakukan CPR (Resusitasi kardiopulmonari) walaupun anda takut dan tak pernah belajar, respon perlu betul, tepat dan pantas,”
Itulah nasihat pempengaruh media sosial dan doktor perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkenaan tindakan pantas yang boleh dilakukan jika seseorang itu diserang dengan keadaan jantung yang menggelepar (degupan tidak normal), dikenali Ventricular Fibrillation (VF) atau Pulseless Ventricular Tachycardia (Pulseless VT).
Katanya, meskipun rawatan terbaik ketika jantung menggelepar adalah ‘short delivery’ namun jika tiada alat ketika itu, wajib mulakan CPR dengan segera.
“Jika terlambat, jantung akan masuk ke dalam fasa berikutnya iaitu langsung tiada nadi, dikenali PEA atau Asystole. Pertama sekali perlu periksa respons, kalau tiada sebarang reaksi, jerit untuk dapatkan bantuan dan mulakan CPR dengan segera.
“Ambil kedua-dua tapak tangan, letakkan di tengah-tengah dada mangsa dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat yang mungkin.
“Jangan bengkokkan siku dan usah risau mangsa akan berasa sakit, tulang rusuk patah kerana mereka dalam fasa tiada nadi,” katanya.
Tambah Dr. Malar lagi, seseorang yang memberikan tekanan CPR perlulah bergilir-gilir dalam masa tiga minit kepada mangsa supaya jantung boleh kembali mengepam sehingga bantuan profesional datang.
“Seseorang tidak boleh disaman atau didakwa atas salah memberikan CPR malah individu yang memberi bantuan kecemasan ketika ‘life threatening event’ mempunyai perlindungan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Malar memberitahu punca masalah jantung menggelepar biasanya terjadi dalam keadaan seseorang itu sedang bermain badminton iaitu dikenali Hypokalemia ataupun Hyperkalemia.
“Hypokalemia boleh berlaku jika berpeluh yang melampau. Selain itu seseorang boleh jatuh pengsan apabila badan terlampau sejuk (Hypothermia) dan gula terlampau rendah (hypoglucemia).
“Pada pendapat dan pengalaman peribadi saya, untuk pemain badmintion, paling kerap adalah disebabkan oleh garam galian yang tak normal (electrolyte imbalance) namun walau apapun puncanya yang penting adalah respons mesti betul, tepat dan cepat. – KOSMO! ONLINE