PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial mencuri perhatian orang ramai apabila menimbulkan persoalan mengenai kanak-kanak lepasan sekolah rendah tidak sewajarnya ditempatkan di asrama sehinggalah umur 16 tahun.
Menerusi ciapan X oleh @kimimpossibler, pengguna itu menyatakan dia percaya bahawa pelajar berumur 13 hingga 15 tahun tidak sepatutnya duduk di asrama.
Meninjau di ruang komen, rata-rata netizen menyokong dengan pandangan itu kerana pada fasa pembesaran remaja, pelajar tidak seharusnya berjauhan dengan ibu bapa.
“Setuju, umur 13 tahun terlalu muda untuk jauh dari asuhan ibu bapa. Banyak perkara yang perlu diterapkan tanpa didikan warden asrama, kawan atau senior. Contohnya kawal emosi, stress, kebaikan dan sebagainya,” kata @shaz.
“Umur budak-budak ketika itu masih tidak matang, jika masuk asrama, mereka akan senang terpengaruh dengan rakan sebaya dan tiada masa dengan keluarga.
“Selepas sambung belajar akan pergi universiti pula, jadi biarlah ibu bapa yang membentukkan anak, bukannya daripada suasana asrama,” kata pengguna @ky2en.
Selain itu, ada juga yang bersetuju disebabkan masalah buli yang semakin berleluasa di sekolah pada zaman ini.
“Sebagai pelajar yang pernah duduk di asrama, lebih baik masuk ketika umur 16 tahun kerana kes buli antara senior dan junior akan kurang sedikit sebab kebanyakanya sudah besar dan matang,” kata @hafizzainal.
“Saya pernah dibuli masa umur 14 tahun, orang yang bagi sokongan dan tenangkan saya adalah ibu bapa. Tak boleh bayangkan jika kita jauh dari mereka, komen @zareena.
Sementara itu, ada yang mengatakan keutamaan asrama sebenarnya diberikan khas kepada orang susah atau mereka yang duduk jauh dari rumah.
“Objektif sebenar asrama ini untuk membantu anak-anak dari keluarga susah supaya dapat belajar, makan terjaga dan berjaya kemudian bantu ibu bapa keluar dari kemiskinan namun sekarang lain pula jadinya,” kata @ridzuan_bonzer.
“Kalau di kawasan luar bandar dan pedalaman, biasanya sekolah menengah jauh dari rumah tak seperti sekolah rendah. Itu sebab kerajaan wujudkan asrama kerana tak semua mampu untuk ada kenderaan,” kata @FeisiTangg.
Bagaimanapun. terdapat juga pandangan lain yang mengecualikan anak-anak yang ingin fokus belajar tanpa ada sebarang gangguan terutama bagi pelajar yang mempunyai masalah dengan keluarga. -KOSMO! ONLINE