KUALA LUMPUR – Disangka bakal bertunang dengan Aliff Aziz, pelakon, Ruhainies menyangkal tuduhan tersebut sekali gus menegaskan perkara itu tidak mungkin berlaku.
Kata Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, pelbagai dakwaan palsu mengenai dirinya semakin bertebaran dalam media sosial sehingga mencetuskan salah faham netizen.
“Tak akan berlaku (bertunang). Tak adalah, hal itu pun (penyebaran berita pertunangan) merepek. Makin lama makin merepek.
“Saya pun tak tahu siapa yang mulakan benda itu. Tiba-tiba media jadikan bahan berita. Saya rasa sedihlah kerana berita tak sahih dikeluarkan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ruhainies berkata demikian semasa ditemui selepas sebutan kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya respons terhadap sindiran dan tuduhan bekas isteri Aliff, Bella Astillah yang mendakwa dirinya sebagai perosak rumah tangga, Ruhainies hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
Menurut pelakon drama Menantu Tingtong itu, perkara tersebut dianggap tidak relevan untuk dijawab buat masa ini kerana fokusnya sekarang adalah menyelesaikan isu kes khalwat yang dijalankan pada hari ini.
“Soalan ini terlalu berat. Mengenai hal itu, apa yang boleh dikatakan, kes hari ini melibatkan kes khalwat, kalau boleh saya memang tak nak sentuh mengenai isu itu.
“Insya-Allah nanti kita jawab pada masa yang sesuai nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhainies tidak menafikan selagi kes khalwat dan kontroversi yang melanda dirinya ini belum selesai, perkara tersebut sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.
“Tentulah rasa terganggu. Saya pun manusia biasa,” katanya.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan hakim atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE