LIPIS – ‘Saya berdoa dengan penuh harapan supaya abang saya (Rosdan Mat) ditemui sama ada dia masih bernafas atau sebaliknya,” kata Fauziah Mat, 48, di Kampung Redan, Mela di sini hari ini.
Fauziah berkata, dia bersama suaminya, Adnan Mat Isa serta ahli keluarga akan terus menunggu sehingga pencarian oleh pihak berkuasa menemukan abangnya yang hilang sejak lapan hari lalu.
“Saya reda dengan kejadian ini dan berharap abang saya yang mengalami sakit mental ditemui dalam masa terdekat.
“Sejak kehilangan Rosdan saya dan suami tidak lelap tidur kerana memikirkan nasibnya, entah makan atau sakit,” katanya di Kampung Redan di sini hari ini.
Menurut Fauziah, kali terakhir dia dan suaminya melihat abangnya ialah pada 26 Jun lalu kira-kira pukul 8 pagi ketika dia datang bersarapan di rumahnya.
“Kami melihat abang banyak berdiam diri dan muram ketika menjamah sarapan sebelum dia pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan.
“Abang saya tidak boleh berkomunikasi dengan baik akibat, sebutan tidak jelas serta mengalami masalah mental sejak usianya 14 tahun. Dia cuma mampu meminta makanan dan minuman,” katanya.
Sementara itu, Adnan memberitahu dia menyedari kehilangan abang iparnya pada 26 Jun lalu ketika hendak menghantar makan malam di rumah didiami abangnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pencarian mangsa masuk hari kelapan hari ini dalam radius lapan kilometer.
Katanya, usaha mencari melibatkan sekitar Kampung Redan, Kampung Sanak Jani, Kampung Orang Asli Temetong, Bukit Jenderus dan beberapa lokasi berdekatan. – KOSMO! ONLINE