KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat tokoh ekonomi terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang juga Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Prof. Jeffrey D. Sachs di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan isu global dan serantau berkaitan ekonomi, teknologi dan digital serta kemampanan alam sekitar.
Menurutnya, turut dibincangkan situasi geopolitik serantau serta peringkat dunia, termasuk persaingan antara China dan AS dan peranan negara ASEAN terutama Malaysia.
“Prof. Jeffrey dan saya bersependapat bahawa Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam meneraju bidang sains, teknologi, peralihan tenaga, digital dan kemampanan alam sekitar menjelang kepengerusian ASEAN pada 2025,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar bekata, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hala tuju yang jelas serta dasar-dasar yang penting seperti sasaran net zero carbon pada 2050.
“Kemajuan dalam melaksana objektif-objektif Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sebagai usaha dan upaya dalam melonjak darjat dan martabat negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.