fbpx

Tambah baik sistem saraan, atasi hijrah cendekiawan ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan menambah baik sistem saraan seperti yang diumumkan sebelum ini merupakan sebahagian usaha yang dibuat bagi membendung isu penghijrahan tenaga tempatan ke luar negara.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan sistem saraan itu perlu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan negara.

“Pendekatan itu dibuat bagi memastikan pekerja sektor awam mendapat kadar gaji setara dengan negara luar.

“Kerajaan perlu membendung penghijrahan para cendekiawan ke luar negara, selain kita belum ada angka rasmi peratusan penghijrahan yang berlaku.

“Kita perlu bangunkan sistem lebih baik untuk kenal pasti golongan terlibat,” katanya ketika sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) tentang situasi yang melibatkan 5.5 peratus atau 1.18 juta penghijrahan cendekiawan pada tahun lalu.

Dalam masa sama beliau turut mengakui, isu berkenaan boleh menyebabkan negara berdepan masalah kekurangan tenaga pakar.

Hijrah cendekiawan dalam konteks penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) katanya, merupakan pergerakan graduan tajaan yang memutuskan untuk berkhidmat di luar negara selepas tamat penajaan dan pengajian.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) tentang usaha kerajaan dalam membendung isu terbabit beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan model baharu penajaan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Tempat Berkhidmat.

“Ia membolehkan program penajaan seumpamanya dapat memberi pulangan pelaburan dalam bentuk modal insan kepada negara.

“Ia adalah antara usaha mengurangkan masalah melibatkan graduan tajaan kerajaan yang bekerja di luar negara mulai 2016,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menafikan dakwaan terdapat pengurangan bilangan pilihan IPTS yang ditawarkan oleh biasiswa JPA-Program Khas Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Dalam Negara (LPSM) 2024.

Jelas beliau, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) disenaraikan, disyaratkan dikategorikan sebagai Kategori Berdaya Saing di bawah Penarafan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Negara (SETARA) 2022, menerusi LPSM Tahun 2024.

Ia juga katanya, tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking Tahun 2024 mengikut kedudukan secara keseluruhan atau mengikut bidang.

“Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membangunkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan dokumen jaminan kualiti sebagai rujukan piawaian dan panduan membangunkan program berkualiti.

“Ia bagi memastikan program yang ditawarkan IPTA dan IPTS kekal berkualiti dan menepati kehendak pasaran semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI