SURABAYA – Sukan olahraga terus menjadi lubuk pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia apabila menambah empat pingat emas hari ini.
Atlet 400 meter (m) lelaki kebangsaan, Umar Osman mengetuai skuad negara pada saingan hari kedua olahraga dengan meraih pingat emas selepas melakukan catatan masa terpantas 47.22 saat (s).
Umar yang juga pemegang rekod 400m lelaki kebangsaan menewaskan atlet Indonesia, Muhamad B. Fitadi (48.20s) yang meraih perak manakala gangsa menjadi milik Jirateep Bundee (48.66s) dari Thailand.
“Syukur Alhamdulillah saya dapat No.1 pada saingan hari ini dan menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia. Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi tetapi akan berikan fokus untuk sumbang emas dalam 4x400m nanti.
“Saya yakin dapat emas hari ini kerana percaya pada diri sendiri. Itu yang membuatkan saya bersemangat untuk dapatkan emas buat pasukan negara,” kata atlet kelahiran Johor itu.
Kemenangan itu pastinya menjadi pembakar semangat buat Umar menjelang aksi 4x400m yang dijadualkan berlangsung esok.
Selain Umar, emas juga hadir menerusi acara 400m wanita selepas Shereen Samson Vallabouy muncul pemenang dengan catatan masa 53.71s menewaskan Benny Nontanam (55.09s) dari Thailand dan atlet tuan rumah, Maulidah (56.51s).
Kemudian, giliran kuartet 4x100m lelaki yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd. Fahimi dan Mohd. Raimi Mustafa Kamal menyumbang emas selepas mencatat 40.10s.
Pingat perak menjadi milik pasukan Thailand dengan catatan masa 40.75s manakala gangsa dimenangi kuartet tuan rumah yang mencatat 40.93s.
Dalam pada itu, pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi, jaguh lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata turut menyumbang emas selepas melakukan lontaran sejauh 15.20m. – KOSMO! ONLINE