BANGKOK – Seorang lelaki Thai memberi amaran kepada penduduk tempatan khususnya wanita supaya berwaspada susulan penemuan sejumlah besar pakaian dalam wanita di sebuah ladang pokok kayu putih di wilayah Nakhon Ratchasima.
Lelaki berusia 49 tahun bernama Banlaeng Sukkratoke berkongsi klip video menunjukkan dua ampaian kayu dipenuhi bra dan seluar dalam wanita di tengah ladang berkenaan.
Dia menyiarkan rakaman video itu dalam akaun Facebook dan TikTok miliknya pada Ahad lepas.
“Amaran kepada wanita di luar sana, berhati-hati apabila menjemur pakaian dalam,” katanya.
Banlaeng berkata, salah seorang pekerjanya menemui semua pakaian itu dan melaporkan kepadanya.
Dalam satu wawancara bersama Saluran 8, Banlaeng bertegas bahawa semua pakaian dalam itu tidak diusik dan ditemui dalam keadaan sedemikian.
Banlaeng juga membawa sekumpulan wartawan ke lokasi di mana dia dan pekerjanya menemui pakaian itu.
Saluran 8 mewawancara penduduk sekitar mengenai pencuri seluar dalam itu tetapi tiada seorang pun mengaku ada kehilangan pakaian dalam baru-baru ini.
Balai Polis Khonburi kemudian menyiasat kes tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencuri itu supaya tampil membantu siasatan. – AGENSI