fbpx

Pemandu bas dituduh tiada lesen, pandu secara berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Majistret Raub di Raub hari ini.

RAUB – Pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Genting Highlands Sabtu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu dengan berbahaya dan tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh S. Anand Kumar,32, dalam keadaan tenang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan bahaya dan Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu.

Menurut kertas pertuduhan pertama, pada kira-kira pukul 10.20 pagi, 29 Jun lalu di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di Bentong, tertuduh didapati memandu dengan cara berbahaya setelah mengambil perhatian tentang segala hal dan keadaan sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa, Zhang Ping,58, dan Wang Suhong, 49.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Menurut kertas pertuduhan kedua, tertuduh pada pukul 10.20 pagi 29 Jun lalu di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di Bentong sebagai pemandu bas persiaran didapati memandu kenderaan bermotor di atas jalan raya tanpa ada lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan tersebut.

Oleh itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau dipenjarakan slama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamzahir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding Muhammad Zamzahir meminta mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh menyerahkan lesen sekiranya ada dan tertuduh tidak dibenarkan mengambil lesen sehingga kes selesai.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1500 kemudiannya merayu agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh perlu menanggung seorang ibu orang kelainan upaya (OKU) yang tidak boleh berjalan.

Siti Aisyah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengambil lesen memandu sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan sebutan semula kes termasuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI