KUALA LUMPUR – Mengelak berdepan lawan yang sukar tidak berada dalam perancangan pemain negara sebaliknya mereka bersedia menggempur siapa sahaja menjelang Sukan Olimpik Paris yang membuka tirai pada 26 Julai ini nanti.
Demikian tegas, jurulatih beregu lelaki badminton negara, Tan Bin Shen selepas mengakui bahawa pasangan ranking No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk pasangan pilihan utama pada temasya empat tahun sekali itu.
Berdasarkan ranking dunia semasa, Aaron-Wooi Yik yang menghuni tangga kelima dunia tidak akan mendapat kedudukan selaku pilihan sekali gus akan bertemu dengan mana-mana pasangan.
Hanya empat pasangan teratas ranking dunia akan diletakkan selaku pilihan yang menyaksikan mereka akan dipecahkan dalam empat kumpulan.
“Apa yang kita bincangkan dengan mereka (Aaron-Wooi Yik), saya rasa untuk Olimpik kali ini kita tidak fikir untuk elak sesiapa pun. Kita fokus pada perlawanan dan siapa datang kita lawan. Selagi kita tahu cara nak main dan cukup tenang untuk atasi cabaran lawan itu paling penting.
“Saya rasa pasangan pilihan utama juga tidak merasakan mereka dalam keadaan yang senang untuk menang dengan pasangan yang bukan pilihan. Jadi, kita buat terbaik siapa yang kita akan berdepan nanti,” kata Bin Shen ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Dalam pada itu, Bin Shen turut meletakkan keyakinan tinggi buat Aaron-Wooi Yik untuk menjelmakan kilauan pingat emas di Paris nanti.
“Bagi saya tidak mustahil kerana standard lebih kurang sama dan keadaan permainan dalam gelanggang juga tidak jauh beza. Jadi, saya harap fikiran pemain lebih tenang dan jangan tegang sangat malah fokus pada permainan,” ujarnya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen negara di Olimpik Tokyo 2020 dan kali ini diletakkan sebagai antara sandaran utama bagi memenangi emas di Paris. -KOSMO! ONLINE