fbpx

Nelayan dituduh palsu dokumen jual empat lot tanah RM8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Wah menghadapi empat pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen melibatkan penjualan empat lot tanah milik sebuah syarikat di Kuala Perlis, Perlis bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Tertuduh, Yong Kok Wah, 47, yang juga pengarah syarikat tersebut ketika kejadian mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibicarakan di dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Kok Wah dari Kuala Kedah, di sini didakwa menggunakan dokumen palsu bertajuk Friendly Loan bagi syarikat Oceanpro Industries Sdn. Bhd. di sebuah pejabat firma guaman di Seberang Jalan Putra di sini pada 12 Ogos 2018.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bertajuk Disposal of Property bagi syarikat tersebut pada lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan sementara tertuduh diwakili peguam, Hamdan Hamzah.

Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan selain membenarkan permohonan tertuduh supaya kes berkenaan dibicarakan serentak dengan lima lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis pada 6 Ogos depan.

Sementara di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason pula, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan yang melibatkan pemalsuan dokumen itu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua itu, Kok Wah didakwa menggunakan dokumen palsu bagi syarikat Fuxing Enterprise (Malaysia) Sdn. Bhd. bertajuk Friendly Loan dan Disposal of Property pada tarikh dan lokasi sama.

Hakim Jean Sharmila turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan selain kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kangar.

Tertuduh membayar kesemua wang jaminan berjumlah RM24,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI