BANGKOK – Seorang lelaki menuduh lelaki lain mencabulnya selepas menawarkan mangsa menumpang kenderaan secara percuma.
Menurut laman berita Thaiger hari ini, pemuda berusia 23 tahun berkenaan yang dikenali sebagai To, membuat aduan serangan seksual di Balai Polis Mueang Loei, wilayah Loei sekitar pukul 3.30 petang kelmarin.
Dia mengenal pasti suspek sebagai lelaki berusia 40 tahun bernama Jack.
Mangsa berkata, dia sedang menunggu bas awam pada hari kejadian.
Jack memberhentikan kereta Toyota Vios yang dipandunya di hadapan perhentian bas itu dan menurunkan tingkap untuk menanyakan To tentang destinasinya.
Jack menawarkan untuk menghantar To dan mangsa bersetuju kerana dia sudah menunggu bas agak lama.
Mereka saling memperkenalkan diri dan Jack dilaporkan bertanya: “Jenis macam mana yang kamu suka?”
To tidak faham soalan itu dan menjawab: “Saya okay dengan semuanya”.
Menurut To, suspek memandu ke sebuah lorong sunyi dan memberhentikan kereta sebelum mencabulnys.
Dia kemudian menghantar To ke pusat bandar Loei. Mangsa bergegas keluar dan segera membuat aduan polis.
Jack dipanggil ke balai polis semalam untuk disoal siasat sebelum dibebaskan.
Saluran 7 melaporkan bahawa polis akan mendakwa Jack di bawah Seksyen 278 Kanun Jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali. – AGENSI