fbpx

Kira duit beli emas RM360,000, duit lesap kena kurung dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

AMPANG – Empat warga asing ditahan selepas terbabit kes melarikan wang tunai RM 360,966 ketika urusan pembelian emas, di Jalan Sultan Sulaiman 1, di sini, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 45 tahun memaklumkan dijemput seorang lelaki di pejabatnya untuk urusan pembelian emas sekitar pukul 4.20 petang.

Jelasnya, lelaki bekerja sebagai jurutera itu telah menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios dan duduk di sebelah suspek.

“Mangsa dibawa oleh suspek ke Jalan Sulaiman 1, di sini dan memaklumkan akan membuat transaksi di kawasan pejabat suspek.

“Suspek telah turun dari kereta untuk lihat bukti wang tunai sebanyak RM360,966 dan mengatakan akan mengira wang dalam kenderaan itu.

“Suspek meminta mangsa untuk berada di tempat duduk belakang bagi menyelia proses kiraan wang yang akan dibuat. Kemudian, mangsa telah meletakkan wang tunai itu di ruangan kaki tempat duduk hadapan sebelum bergerak ke tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata suspek secara tiba-tiba menarik beg dan melulu keluar dari kereta melarikan wang tunai dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City.

Kata beliau, mangsa cuba untuk membuka pintu tetapi terkunci, dia akhirnya keluar melalui tingkap kereta namun gagal untuk mengejar suspek.

“Susulan itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM360,966,” katanya.

Bertindak daripada laporan dibuat, Hussein berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Ampang Jaya menangkap tiga lelaki dan seorang wanita warga asing pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut beliau kesemua suspek berusia 24 hingga 37 tahun ditahan di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur.

“Antara barangan dirampas semasa tangkapan antaranya wang tunai RM28,300, kereta (dua), telefon bimbit (enam), komputer tiba (satu), pakaian, kasut, beg (tiga), kunci rumah (dua) dan kad bank (enam),” ujarnya.

Jelas beliau, modus operandi suspek menjanjikan emas kepada mangsa dan melarikan wang sewaktu transaksi dilakukan.

Tegas Hussein, dua suspek kini ditahan reman 12 Julai, manakala reman dua lagi suspek tamat 16 Julai.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI