FRANKFURT – Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo tanpa sebarang keraguan mengesahkan bahawa kempen Euro 2024 di Jerman kali ini adalah penampilan terakhirnya dalam saingan berprestij Eropah tersebut.
Penggempur Al Nassr itu bakal berusia 43 tahun sekiranya mahu terus beraksi pada edisi berikutnya dan dia mengakui tidak bercadang untuk bermain pada edisi selepas ini yang bakal dilangsungkan di United Kingdom dan Ireland.
“Tidak dinafikan ini adalah kejohanan Eropah terakhir saya. Saya tidak berasa emosi memikirkan tentang perkara ini sebaliknya saya terharu dengan segala apa yang saya berikan kepada bola sepak.
“Ini bukan soal meninggalkan bola sepak. Apa lagi yang ada untuk saya lakukan atau menangi? Membuatkan orang gembira menjadi motivasi buat saya,” katanya.
Pada aksi dengan Selovenia sebelum ini, Ronaldo gagal menyempurnakan penalti hingga menyaksikannya menitiskan air mata.
Bagaimanapun, Portugal lebih bernasib baik untuk layak ke suku akhir apabila menang 3-0 menerusi penentuan penalti di mana dia juga berjaya menjalankan tugas sebagai penendang pertama.
“Anda tidak akan pernah gagal selagi anda tidak mencuba. Jelas sekali ia begitu mengecewakan apabila tidak dapat menjaringkan gol, tetapi semua itu sudah pun dilupakan. Keputusan perlawanan adalah menjadi perkara utama,” ujarnya. KOSMO! ONLINE