fbpx

Kajian tentang Lemon Law dijangka siap September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law dijangka selesai pada bulan September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan dalam membuat keputusan dasar.

“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang jika barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] di bawah kawal selia KPDN.

“Jadi, kajian yang bermula pada Jun lalu ini akan menentukan sama ada perlu buat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada, atau perlu penggubalan perundangan baharu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol-BN), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) berkaitan Lemon Law terutamanya dalam melindungi hak pengguna menerusi hal ehwal pembelian kenderaan.

Sementara itu Armizan berkata, KPDN akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan bagi menjayakan usaha terbabit.

“Ini termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada 4 Jun lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh berkenaan cadangan pengukuhan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia.

“Bersandarkan kepada simposium tersebut, didapati semua pihak termasuk industri memberi respon positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepenggunaan melalui Lemon Law sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI