fbpx

JAS serbu kilang haram proses plastik jadi ‘makanan ikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (tengah) menunjukkan plastik terpakai yang dijadikan pelet sebelum diisi dalam bungkusan tertera sebagai makanan ikan air tawar di sebuah kilang di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyerbu dua buah kilang kitar semula yang disyaki memproses sisa elektronik dan plastik terpakai secara haram di sebuah kawasan perindustrian, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, kira-kira 1,500 tan metrik sisa elektronik serta 100 tan metrik plastik terpakai disita.

Operasi yang dilakukan bersama Jabatan Imigresen dan polis juga mendapati terdapat kira-kira 100 tan metrik plastik terpakai yang telah diproses menjadi bentuk pelet dan diisi dalam bungkusan tertera sebagai makanan ikan air tawar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, serbuan turut menemui 20 bungkusan plastik terpakai yang belum diproses.

“Kita mengesyaki bahan plastik terpakai ini diproses untuk dijadikan pelet disebabkan rupanya seperti makanan ikan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram, di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah kilang memproses sisa elektronik yang terletak bersebelahan kilang kitar semula plastik berkenaan didapati baru beroperasi secara haram sejak dua bulan lalu.

Ketika serbuan, premis yang berkunci dari dalam itu didapati kosong tanpa pekerja walaupun peralatan seperti mesin pemprosesan dan jentera seperti baru digunakan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kedua-dua kilang itu melakukan kesalahan kerana pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) dan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan lesen daripada JAS.

“Berdasarkan rekod JAS, terdapat 3,526 premis daripada pelbagai sektor industri beroperasi di Kedah dan sehingga Jun lalu, JAS telah berjaya menjalankan 544 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri di negeri ini dengan sebanyak 359 tindakan penguatkuasaan telah diambil,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI