SHAH ALAM – Proses pemulihan pemain bolasepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim terus menunjukkan perkembangan positif dengan kini sedang menjalani sesi fisioterapi bagi memulihkan fungsi pergerakan tangan kirinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pemain sayap itu telah menjalani sesi tersebut di bahagian berkenaan sejak beberapa hari lalu.
“Insya-Allah, pada minggu hadapan Faisal dijangka membuat latihan larian bagi meningkat semula tahap kecerdasannya.
“Namun, latihan yang akan dilakukan Faisal hanya ringan sahaja memandangkan dia masih lagi dalam proses pemulihan,” katanya pada majlis penyerahan Tabung Solidariti kepada Selangor FC di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sejumlah RM76,490.06 yang disumbangkan masyarakat menerusi Tabung Solidariti Bersama Selangor FC diserahkan kepada Selangor FC, hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, wang tabung tersebut akan digunakan persatuan bola sepak berkenaan bagi membayar denda yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Selangor FC.
“Berdasarkan kepada sambutan memberangsangkan diterima, kita dapat melihat bagaimana sokongan kuat yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang turut sama tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku itu.
“Kita turut menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, ADUN Kajang, David Cheong juga ADUN Kota Kemuning, S Preakas,” katanya. – KOSMO! ONLINE.