FRANKFURT – Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez memuji mentaliti kapten, Cristiano Ronaldo untuk memikul tanggungjawab selepas membantu pasukan menang 3-0 menerusi penentuan penalti dengan menewaskan Slovenia di peringkat kalah mati semalam.
Pada perlawanan itu, Ronaldo hampir menjadi ‘duri dalam daging’ skuad A Selecao selepas gagal menjaringkan penalti buat Portugal ketika saingan memasuki masa tambahan dengan rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Jan Oblak.
Namun, Ronaldo menebus kekecewaan tersebut apabila menjaringkan penalti pada saingan penentuan bersama Bruno Fernandes dan Bernardo Silva dengan penjaga gol, Diego Costa muncul wira apabila menepis semua sepakan yang diambil pemain Slovenia.
Kata Martinez, Ronaldo tidak perlu membuktikan apa-apa lagi kerana dia sudah memberikan segalanya buat pasukan sepanjang 120 minit perlawanan.
“Saya harap Ronaldo tidak dihantui dengan rasa bersalah kerana kami semua cukup gembira dengan peranannya selaku kapten pasukan. Malah, dia membuka jalan untuk kami menang apabila menjadi pemain pertama yang mengambil sepakan penalti.
“Saya percaya semua pemain sangat berbangga dengan Ronaldo dan langsung tidak menyalahkannya susulan kegagalan menyudahkan sepakan penalti pada masa tambahan.
“Saya pasti dia juga sudah belajar daripada kesilapan tersebut dan apa yang penting ketika ini kita perlu kekal fokus kerana bakal mengharungi perlawanan suku akhir yang lebih getir menentang Perancis nanti,” katanya.
Sementara itu, Costa mengakui sangat gembira apabila dapat menjadi wira pasukan apabila kekal kebal dengan memastikan gawang tidak dibolosi sepanjang lebih 120 minit perlawanan.
Kata Costa, keyakinannya semakin memuncak ketika berjaya menafikan penyerang Slovenia, Benjamin Sesko untuk menjaringkan gol pada situasi satu lawan satu ketika masa tambahan.
“Pertahanan kami berdepan detik cemas ketika Sesko memiliki peluang satu lawan satu pada penghujung saingan tetapi saya cuba untuk kekal tenang dan membaca pergerakannya.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan situasi itu memberikan suntikan semangat buat saya dan ini juga perlawanan terbaik yang pernah saya harungi sepanjang karier,” kata penjaga gol kelab Porto berusia 25 tahun itu. – AGENSI